Perkhidmatan WiFi Komuniti (WK)

PENGENALAN

Perkhidmatan WiFi Komuniti (WK) yang sebelum ini dikenali sebagai Kampung Tanpa Wayar (KTW) adalah perkhidmatan WiFi secara ‘hotspot’ di kawasan tumpuan.

WiFi secara ‘hotspot’ merujuk kepada titik capaian yang disediakan di setiap lokasi bagi membolehkan pengguna menggunakan internet melalui isyarat gelombang WiFi.

Kawasan tumpuan bagi KTW1M meliputi kawasan luar bandar terpilih yang mendapat kurang liputan internet

TUJUAN & MATLAMAT PENUBUHAN

Penyediaan perkhidmatan capaian internet tanpa wayar secara kolektif kepada masyarakat luar bandar di kawasan kurang liputan SECARA PERCUMA.

Menanamkan minat dan kesedaran tentang kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kehidupan seharian seiring dengan inisiatif WiFi Komuniti (WK) yang direncanakan Kerajaan ke arah memupuk masyarakat berilmu dan progresif.

KONSEP HUB & SPOKE WK

Pelayan cache dipasang di hub yang berada di PI1M untuk kelancaran internet.

Hub berhubung kepada 5 spoke WK.

Setiap spoke berada dalam lingkungan 1 kilometer dari hub.

Liputan WiFi bagi setiap spoke adalah dalam lingkungan sehingga 250 meter.

Kelajuan internet bagi setiap hub dan spoke adalah 4Mbps.

LANGKAH PENGGUNAAN

1.Butang WiFi di peralatan komputer atau telefon pintar dihidupkan.

2.Cari isyarat WiFi di skrin yang bermula dengan perkataan KTW.

3.Pilih isyarat WiFi yang paling kuat (melebihi 3 bar).

4.Klik ikon internet. Laman sesawang KTW1M akan terpapar di skrin.

5.Daftar untuk pengguna kali pertama dan isikan butir-butir yang berkaitan.

6.Pengguna akan menerima ID dan kata laluan untuk melayari internet.


SOALAN LAZIM - WIFI KOMUNITI (WK)


1. Apa yang dimaksudkan dengan inisiatif WiFi Komuniti (WK)?

Inisiatif WiFi Komuniti (WK) adalah satu program di bawah SKMM yang menyediakan perkhidmatan WiFi secara ‘hotspot’ di lokasi-lokasi terpilih terutamanya di kawasan luar bandar seluruh negara.

2. Bagaimanakah caranya sekiranya saya ingin menggunakan perkhidmatan WiFi tersebut?

Pengguna boleh merujuk kepada papan tanda WK yang disediakan di setiap lokasi; menandakan terdapat perkhidmatan WiFi untuk kegunaan orang ramai / penduduk setempat.

3. Adakah isyarat gelombang WiFi memudaratkan kesihatan masyarat setempat?

Tidak

4. Adakah saya perlu mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan WiFi tersebut; jika ada bagaimanakah caranya? Adakah terdapat sebarang bayaran dikenakan semasa mendaftar?

Pengguna boleh mendaftar secara ‘online’ selepas berjaya menyambung perkhidmatan WiFi tersebut kepada peralatan komputer (komputer riba, netbook, tablet) dan telefon pintar. Pengguna perlu mendaftar untuk mendapatkan ID pengguna dan kata laluan terlebih dahulu untuk melayari internet. TIADA BAYARAN dikenakan semasa pendaftaran.

5. Saya telah cuba untuk mendaftar tetapi masih tidak berjaya. Apakah langkah seterusnya yang perlu saya buat?

Pengguna boleh merujuk kepada papan tanda WK untuk berhubung dengan pemberi perkhidmatan, Pejabat Wilayah SKMM atau Biro Aduan Pengguna SKMM untuk mendapatkan bantuan.

6. Saya ingin membuat aduan mengenai mutu perkhidmatan WiFi yang tidak memuaskan. Di mana saya boleh melaporkan sebarang aduan kerosakan?

Pengguna boleh merujuk kepada papan tanda WK untuk berhubung dengan pemberi perkhidmatan, Pejabat Wilayah SKMM atau Biro Aduan Pengguna SKMM untuk membuat sebarang aduan kerosakan.

7. Bagaimanakah cara untuk saya memohon WK di kawasan saya?

Pemilihan lokasi dan pelaksanaan WK adalah mengikut garis panduan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama agensi kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan.